Skip to main content

Adakah anda membantu anak anda menjadi warganegara global?

Bantu anak-anak menjadi berjaya di masa hadapan

Dengan setiap kemajuan teknologi yang baru, dunia semakin mengecil. Anak-anak kita membesar dalam dunia yang saling berhubung dan bergantung antara satu sama lain.

Peluang yang ditawarkan oleh dunia “globalisasi” yang sentiasa berubah kepada anak-anak kita sangat banyak dan tidak terbatas. Tetapi begitu juga dengan cabaran-cabaran yang ada.

Walaupun kita tidak mengetahui sifat sebenar peluang dan cabaran ini, apa yang kita tahu ialah untuk membantu anak kita menjadi seorang yang berjaya pada masa depan akan memerlukan lebih daripada set kemahiran tradisional seperti membaca, menulis, aritmetik (dan kini pengekodan!).

Kita, sebagai ibubapa kepada generasi masa depan menggalas tugas untuk memupuk anak-anak kita menjadi warganegara global.

Untuk menjadi warganegara global yang efektif, kita perlu mengajar anak kita untuk menjadi fleksibel, kreatif dan proaktif. Mereka haruslah mampu menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berfikir secara kritikal, berkomunikasi tentang idea dengan efektif dan bekerja dengan baik dalam pasukan dan kumpulan yang pastinya terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa dari seluruh dunia.

Asas pembelajaran untuk menjadi warganegara global terletak pada bimbingan yang baik, bukannya arahan. Kita boleh membantu anak-anak kita menjadi versi mereka yang terbaik dengan memberi semangat dan praktik setiap hari. Ingat, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Di sini ada beberapa tip-tip mudah yang boleh kita serapkan dalam kehidupan harian kita bagi menggalakkan anak-anak kita untuk berfikir dan bertindak seperti warganegara global dari dunia masa depan, mulai hari ini:

 

  • Mencipta pemikiran minda yang global:

    Ambil peta dunia atau peta globe. Kenalkan pada anak anda tentang geografi Bumi. Mainlah permainan yang menyeronokkan seperti mencari negara di dalam peta. Dengan perlahan-lahan, buatkan anak anda berminat untuk mengetahui hal ehwal dunia. Berdiskusi dengan mereka tentang apa yang berlaku di pelusuk dunia; bimbing minda mereka untuk membina pendapat dan pandangan mereka sendiri. Untuk memberikan contoh empati, dengar dan jangan hakimi pendapat mereka.

  • Membesarkan anak yang bertutur dwibahasa / pelbagai bahasa:

    Mempelajari bahasa kedua bukanlah semata-mata untuk mendapatkan markah yang bagus dalam peperiksaan. Ia dapat membantu anak-anak untuk mempelajari budaya lain. Ia juga telah dibuktikan dapat meningkatan kebolehan kognitif seperti membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.
    Disiplin yang diperlukan untuk mempelajari bahasa yang baru juga akan meningkatkan tumpuan mereka dan kebolehan untuk menumpukan perhatian ketika menghadapi tugasan yang mencabar. Kajian1 telah menunjukkan mempelajari bahasa baru akan menjadikan anak-anak menjadi lebih bijak!

  • Melancong:

    Apabila kita melancong bersama anak-anak, mereka akan sedar bahawa dunia ini terdiri daripada pelbagai jenis manusia yang berbeza, bertutur dengan bahasa yang berbeza, mengamalkan agama yang berbeza dan melakukan pelbagai perkara dalam pelbagai cara. Ini akan membuatkan pembelajaran tentang empati menjadi lebih mudah, kerana ianya memudahkan anak- anak untuk membayangkan perasaan berada di tempat orang lain. Melancong akan merangsang rasa penghargaan kepada budaya dan adat resam orang lain, mengelakkan perasaan prejudis, dan meningkatkan kesedaran kendiri dan estim diri. Anak-anak akan belajar meraikan perbezaan.

    Mereka mungkin tidak akan ingat setiap detik percutian anda, tetapi impak daripada pengalaman ini akan membantu membentuk personaliti dan pandangan global mereka. Anda juga boleh mengambil kesempatan ini untuk melatih kemahiran menyelesaikan masalah mereka sewaktu dalam perjalanan. Main permainan yang boleh menguji minda mereka seperti memikirkan bagaimana sesuatu struktur atau sistem (seperti lapangan terbang!) boleh dipertingkatkan menjadi lebih baik, dengan menggunakan pengalaman di tempat-tempat yang telah dikunjungi sebagai inspirasi.

  • Perpustakaan:

    Seandainya anda tidak mampu untuk pergi melancong, cara yang terbaik ialah dengan membawa dunia ke pintu rumah anda melalui perpustakaan. Perpustakaan adalah gedung harta yang penuh dengan buku, peta, muzik, dan majalah. Walaupun pada zaman Internet sekarang, perpustakaan sudah semakin kurang dikunjungi. Tetapi hakikatnya, tiada tempat yang lebih baik untuk merangsang imaginasi dan bertukar-tukar idea dari perpustakaan.

    Berhenti dari menggunakan teknologi juga akan memberi banyak manfaat kepada anak anda. Dengan duduk dan membaca akan membina daya tumpuan dan imaginasi mereka.

  • Dedahkan anak-anak dengan makanan, muzik, seni, pameran muzium dan pertunjukan antarabangsa:

    Jadikan pendedahan budaya satu cara hidup. Bau dan rasa makanan yang baru, warna dan drama seni yang baru, cerita, dan rentak muzik dapat memberikan stimulasi kepada minda si kecil. Pelbagai pengalaman yang dialami oleh setiap deria ini akan memupuk perasaan ingin tahu dan daya imaginasi, membantu mereka membesar dan meraikan sesuatu yang baru dan berbeza.

  • Menggalakkan interaksi antara- budaya dengan kanak-kanak lain:

    Tidak dapat dinafikan, kanak-kanak akan mudah belajar daripada kanak-kanak yang lain. Galakkan anak anda untuk berkawan dari kalangan yang berbeza budaya.

    Ajak kawan-kawan anak anda dari latar belakang budaya yang berbeza untuk tidur bermalam di rumah anda, begitu juga sebaliknya, jangan merasa malu untuk menghantar anak anda untuk tidur bermalam di rumah kawannya yang berlainan budaya. Apabila kanak-kanak selesa berkomunikasi dan berinteraksi dengan kanak-kanak yang lain, benda yang baru dan berbeza itu akan menjadi sesuatu yang tidak menakutkan dan tidak pelik. Ini akan membantu mereka membesar menjadi seorang warganegara global yang tidak gentar.

  • Memperkasa anak-anak:

    Kanak- kanak secara lahiriahnya mempunyai rasa belas ihsan. Berikan galakan kepada mereka untuk menderma pakaian dan alat mainan lama yang masih elok, dan akan memberi pengajaran kepada mereka bahawa walaupun apa yang dilakukan oleh mereka nampak kecil, tetapi memberi impak dan manfaat kepada masyarakat, dan kepada dunia secara umumnya.

    Mengajar rasa empati kepada anak kita akan merangsang kemahiran interpersonal mereka, yang mana nanti akan memainkan peranan apabila mereka bekerjasama dengan orang lain dan juga ketika menyelesaikan masalah. Kanak-kanak juga perlu tahu bahawa mereka mempunyai keupayaan untuk mengubah dunia, ini kerana menjadi seorang warganegara global bermaksud seseorang perlu bertanggungjawab di atas tindakan masing- masing dan berusaha ke arah kebaikan untuk sejagat.

  • Sokong IQ dan EQ mereka:

    Seorang kanak-kanak akan lebih bermotivasi untuk belajar tentang dunia hanya sekiranya kita sengaja menyemai kecerdasan emosi mereka seiring dengan kebijaksanaan pembelajaran mereka. Empati, sabar, kemahiran mendengar dan memerhati, rasa ingin tahu, dan tidak malu bertanya, adalah kritikal, sama seperti melancong dan mempelajari bahasa baru kepada kejayaan global.

Sebagai kesimpulan, ibubapa amat digalakkan untuk mengambil pendekatan yang proaktif dalam meningkatkan kesedaran global anak mereka. Hanya dengan itu dapat kita mengajar anak kita untuk memahami dan menangani segala cabaran dunia yang kini sentiasa cepat berubah.

Peranan kita sebagai ibubapa adalah membina jambatan yang dapat menghubungkan anak kita dengan seluruh dunia.


Rujukan:
1Bhattacharjee, Y. (2012, March 17). Why Bilinguals Are Smarter. Retrieved February 13, 2017, from http://www.nytimes.com/2012/03/18/opinion/sunday/the-benefits-of-biling…